KOTA KINABALU: Pemergian mantan Peguam Negara Malaysia, Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani Patail, disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Sabah, malah seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Allahyarham yang berasal dari Lahad Datu, Sabah, banyak menabur jasa dan bakti dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam negara.
“Segala sumbangan dan khidmat bakti beliau akan sentiasa dikenang,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, pagi ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.