Usahawan Telupid, Pitas terima dana MINDET RM50,000 perkasa ekonomi luar bandar

TELUPID: Usahawan di Telupid dan Pitas menerima suntikan dana berjumlah RM50,000 daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) sebagai usaha untuk memperkukuh pembangunan keusahawanan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan itu bertujuan membolehkan persatuan terbabit melaksanakan pelbagai program keusahawanan yang memberi manfaat kepada ahli dan komuniti setempat, termasuk usahawan Tamu Desa, sekali gus meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti ekonomi.

“Daripada jumlah keseluruhan, Persatuan Amal Harapan Beluran menerima RM20,000, Persatuan Peniaga Telupid Sabah menerima RM10,000, manakala Persatuan Sukarelawan Bengkoka Pitas menerima RM20,000,” katanya.

Dana menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET itu disampaikan oleh beliau sempena lawatan kerjanya ke Bengkoka dan Telupid baru-baru ini.

Menurut Ewon, kerajaan negeri menerusi MINDET komited memperkukuh ekosistem keusahawanan dengan menyediakan bantuan, kemudahan serta kerjasama strategik agar lebih ramai usahawan, khususnya di luar bandar, mampu mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Dalam lawatan ke Bengkoka, Pitas, beliau turut meninjau Projek Tamu Desa Bongkol yang siap dibangunkan menggunakan peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun lalu.

Katanya, projek berkenaan kini dimanfaatkan oleh komuniti usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan setiap Sabtu, sekali gus menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selesa, tersusun dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.

“Projek Tamu Desa merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya perkenalkan ketika menerajui KUSKOP bagi memperkukuh pembangunan keusahawanan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

“Kita akan terus memperluaskan usaha membantu usahawan menerusi pelbagai bentuk sokongan termasuk Dana Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET bagi memastikan lebih ramai usahawan luar bandar berpeluang memajukan perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi mereka,” tambahnya.