KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan pemberian insentif pengurangan cukai kepada pelabur yang membina kilang pemprosesan dalam negeri sebagai langkah menggalakkan aktiviti hiliran (downstreaming) serta meningkatkan nilai tambah industri tempatan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kajian itu melibatkan semakan terhadap struktur Cukai Jualan Negeri (CJN) yang dikenakan kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaannya mampu menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.
“Kita telah mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan pada Jun lalu untuk melihat bagaimana mereka yang ingin memproses minyak dalam negeri mungkin boleh diberikan insentif agar tidak dikenakan CJN.
“Ataupun jika dikenakan, ia mungkin pada kadar yang munasabah supaya syarikat boleh menggunakan kewangan tersebut untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta proses downstreaming,” katanya.
Masidi berkata, antara contoh yang sedang dikaji ialah kadar cukai CJN terhadap industri minyak sawit.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi menggalakkan syarikat bukan sekadar mengeksport bahan mentah, sebaliknya menjalankan proses pemprosesan dan pembangunan industri dalam negeri.
“Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikenakan oleh kerajaan pusat, manakala CJN dikenakan oleh kerajaan negeri.
“Kedua-duanya adalah perkara yang berbeza.
“Kita dalam proses meneliti semua CJN yang pada masa ini dikenakan bagi memastikan ia dapat memberi galakan kepada syarikat-syarikat untuk membuat downstreaming di dalam negeri,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin pada Persidangan DUN, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan bukan sahaja memberi hasil kepada kerajaan, tetapi turut berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan dan pembangunan industri.