KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal melaksanakan kajian terhadap 1,000 pokok Bulatok (Paullinia cupana) dari pelbagai kawasan penanaman di seluruh Sabah bagi mengenal pasti kepelbagaian genetik, status kesihatan tanaman serta faktor persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan dan produktivitinya.
Penyelidikan yang diterajui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Bulatok Sabah (PPBS), khususnya dalam mengenal pasti lokasi dan komuniti penanam serta menyokong pengumpulan data dan pemindahan ilmu.
Kerjasama tersebut susulan pemeteraian dokumen perjanjian penyelidikan antara UMS dan PPBS sempena Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Antarabangsa Ke-9 (SB9) baru-baru ini.
Pengarah IPB UMS, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Gansauberkata, kerjasama penyelidikan antara universiti, komuniti, industri serta agensi berkaitan penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
“Penyelidikan ini penting bagi memastikan ilmu dan kepakaran saintifik dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Pembangunan bidang agrobioteknologi di Sabah memerlukan lebih banyak kerjasama seperti ini.
“Sabah mempunyai kekayaan biodiversiti dan sumber biologi yang besar, tetapi potensi tersebut perlu disokong oleh penyelidikan saintifik, inovasi dan jaringan kerjasama yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, Presiden PPBS, Datuk Seri Panglima WilfredMojilip Bumburing berkata, Bulatok mempunyai potensi ekonomi yang besar kepada komuniti penanam di Sabah.
“Pembangunan tanaman ini memerlukan data dan bukti saintifik yang kukuh, khususnya berkaitan kepelbagaian tanaman, kesihatan pokok, kesesuaian persekitaran dan amalan penanaman.
“Kerjasama ini penting dalam menghubungkan kepakaran universiti dengan pengalaman serta pengetahuan komuniti penanam di lapangan.
“Kami yakin kepakaran penyelidik IPB UMS mampu membantu persatuan dan komuniti pengusaha mendapatkan data saintifik yang komprehensif,” jelasnya.
Tambah Wilfred, kajian tersebut akan melibatkan penilaian terhadap 1,000 sampel pokok Bulatok dari pelbagai kawasan penanaman di seluruh Sabah.
“Penyelidik akan mendokumentasikan lokasi penanaman menggunakan sistem GPS, menilai ciri morfologi dan variasi genetik tanaman, selain menjalankan pengesanan patogen menggunakan pendekatan molekul moden,” ujar beliau.
Penyelidikan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) IPB, Profesor Madya Ts. Dr. Wilson Yong Thau Lym itu dijangka menghasilkan dokumentasi saintifik pertama yang lebih menyeluruh mengenai taburan dan status penanaman Bulatok di Sabah.
Selain itu, kajian tersebut turut membangunkan profil kepelbagaian genetik, status kesihatan tanaman serta inventori patogen yang berpotensi menjejaskan tanaman berkenaan.
Dapatan kajian dijangka menyediakan bukti saintifik bagi menyokong usaha pengiktirafan rasmi dan pengawalseliaanpenanaman Bulatok, pembangunan amalan agronomi yang lebih mampan serta pembentukan rantaian nilai dan produk bernilai tambah berasaskan sumber tempatan. Tolong betulkan spacing berita ini supaya senang dimasukkan dlm portal tanpa mngubah berita asal