‘Banyak jasa dan bakti kepada rakyat, negeri Sabah’ – Armizan rakam takziah pemergian Yahya Lampong

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh politik veteran Sabah, Datuk Haji Yahya Lampong, yang meninggal dunia pagi tadi.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang banyak menabur jasa dan bakti kepada rakyat, Sabah serta negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Dukacita menerima perkhabaran kembalinya ke rahmatullah Datuk Haji Yahya Lampong, mantan Timbalan Menteri Persekutuan dan tokoh politik veteran Sabah.

“Allahyarham telah banyak menabur jasa dan bakti kepada rakyat, negeri Sabah serta negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya menerusi kenyataannya hari ini.

Armizan turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham selain mendoakan agar segala dosa Allahyarham diampunkan Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

“Al-Fatihah,” katanya.

Yahya, 86, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi di Ampang Puteri Specialist Hospital (KPJ), Ampang, Kuala Lumpur.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986 dan ADUN Tempasuk dari 1985 hingga 1986, selain pernah menggalas jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar di peringkat Persekutuan.

Jenazah Allahyarham dilaporkan dibawa ke Masjid Nurul Islam, Ampang untuk dimandi dan disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat Zohor tadi.