Perubahan serantau, pertahanan Sabah perlu diperkukuh

KOTA KINABALU: Malaysia perlu mengambil langkah memperkukuh kedudukan pertahanan di Sabah susulan perubahan landskap keselamatan serantau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu penting bagi memastikan Malaysia sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, terutama sekiranya berlaku konflik yang tidak dijangka di rantau berkenaan.

Beliau berkata, perkembangan keselamatan di kawasan sekitar Laut China Selatan serta persaingan antara kuasa-kuasa besar perlu diberi perhatian kerana sebarang konflik yang berlaku berdekatan boleh memberi kesan limpahan kepada Malaysia, khususnya Sabah.

“Jika berlaku di kawasan itu yang begitu kecil dari segi geografinya, ia mungkin akan menjejaskan juga negara kita.

“Jadi atas sebab itulah, apabila ada peningkatan pembangunan pangkalan-pangkalan tentera dan kehadiran tentera-tentera lain, itu memang hak Filipina.

“Tetapi Malaysia tidak boleh berdiam. Kita perlu mengambil tindakan-tindakan untuk menguatkan kedudukan kita di Sabah kerana kalau berlaku pertembungan yang tidak diingini, kita bimbang ia akan melimpah ke kawasan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mohamed menambah, Malaysia memahami bahawa setiap negara mempunyai hak untuk memperkukuh pertahanan masing-masing dan perkembangan yang dilakukan Filipina adalah hak negara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia perlu mengambil kira perubahan persekitaran keselamatan serantau dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi memastikan kedudukan pertahanan negara, khususnya di Sabah, sentiasa kukuh.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan Sabah sebagai lokasi pertama pelaksanaan Program Literasi Pertahanan Nasional turut mengambil kira keperluan membangunkan kesedaran serta ketahanan rakyat terhadap cabaran keselamatan yang semakin berubah.

Katanya, pertahanan negara bukan hanya melibatkan angkatan tentera dan aset ketenteraan, sebaliknya rakyat turut mempunyai peranan dalam memastikan ketahanan negara dapat diperkukuh.

“Jadi atas sebab itulah kita juga pilih Sabah sebagai tempat kita nak bangunkan ketahanan rakyat,” katanya.

Program berkenaan akan dilaksanakan di peringkat komuniti dengan penglibatan pihak MIDAS dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), selain berpotensi dianjurkan di lokasi lain berdasarkan permintaan masyarakat setempat.