KOTA KINABALU: Peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat kepada RM155 juta pada 2026 berbanding hanya RM52 juta pada 2019, sekali gus memperluas peluang pendidikan kepada lebih ramai anak negeri.
Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Haji Pengiran Saifuddin bin Haji Pengiran Tahir berkata, peningkatan itu membolehkan jumlah penerima biasiswa bertambah kepada 5,412 pelajar pada tahun ini berbanding hanya 637 pelajar pada 2019.
“Bagi 2025 sahaja, sebanyak RM75.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan untuk membantu pelajar, sekolah dan persatuan pendidikan di seluruh Sabah.
“Komitmen itu diteruskan menerusi Belanjawan Sabah 2026 apabila kesemua 13 inisiatif sedia ada dikekalkan, selain memperkenalkan Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU).
“Bantuan berjumlah RM150 seorang itu disasarkan memberi manfaat kepada 8,458 pelajar prauniversiti yang menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET), dengan anggaran peruntukan RM1.27 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Legasi Gemilang Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.
Menurutnya, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan modal insan turut diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang dilaksanakan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, dengan perbelanjaan berjumlah RM210.25 juta.
Selain itu, sebanyak RM15.89 juta disalurkan kepada 11,383 penerima di seluruh Sabah bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 menerusi pelbagai bantuan pendidikan yang diuruskan kerajaan negeri.
Beliau menambah, pelancaran Sistem TPNS Smart Application pada 25 September lalu turut memudahkan urusan permohonan, pengurusan dan semakan status bantuan pendidikan secara dalam talian, sekali gus meningkatkan kecekapan dan ketelusan penyampaian bantuan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendidikan perlu dilihat sebagai hak asas setiap anak, tanpa mengira sama ada mereka berada di kawasan bandar, luar bandar atau pedalaman.
Katanya, usaha memperkukuh akses pendidikan perlu disertai penambahbaikan prasarana, kebajikan murid dan kualiti pembelajaran bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang saksama untuk mencapai kecemerlangan.
Beliau turut menyentuh kepentingan memperkukuh penguasaan literasi, numerasi, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid.

Pada majlis itu, seramai 182 pegawai dan kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, manakala 104 pegawai, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana diraikan menerusi Majlis Jasamu Dikenang 2026.
Majlis turut merangkumi Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2026 bagi mengiktiraf kepimpinan, dedikasi dan sumbangan warga pendidikan daerah Papar.