TAWAU: Empat balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan Zon 5 susulan kejadian gempa bumi di perairan Sandakan malam tadi.
Ketua BBP Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa selain tiada kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan dilaporkan.
“Komender operasi, PBK I Mohd Fazli Rahman melaporkan pasukan bomba telah menjalankan rondaan dan pemantauan susulan gempa bumi sederhana telah berlaku di perairan Sandakan dengan jarak 48km Timur dari Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Katanya, operasi rondaan di kawasan terbabit melibatkan 13 anggota BBP Tawau dengan sokongan satu jentera LFRT, satu CFRT dan satu EMRS.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan serta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kejadian kecemasan.
“Operasi yang bermula pada jam 10 malam itu dikawal pada jam 10.16 malam sebelum ditamatkan pada jam 10.23 malam,” tambahnya.