80% ahli KWSP Sabah, simpanan bawah RM50,000

KOTA KINABALU: Sebanyak 80 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Sabah mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 mencerminkan usaha dalam memastikan rakyat mempunyai tabungan mencukupi apabila memasuki usia persaraan.

Pengarah KWSP Wilayah Sabah, Mohd Fadil Sarehan, berkata keadaan itu menjadi antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan rakyat mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selesa selepas bersara.

Katanya, persediaan menghadapi persaraan bukan hanya berkaitan aspek kewangan, sebaliknya turut merangkumi keperluan kesihatan, tempat tinggal, makanan serta keperluan kehidupan harian lain yang perlu diberi perhatian lebih awal.

“KWSP sentiasa memastikan ahli mempunyai simpanan yang selesa dan bersedia menghadapi persaraan. Namun, berdasarkan statistik, 80 peratus ahli kita di Sabah mempunyai simpanan di bawah RM50,000.

“Oleh itu, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan persediaan persaraan serta keperluan meningkatkan simpanan KWSP amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sesi Libat Urus Bersama Media dan Pihak Berkepentingan Negeri Sabah di Hotel Sheraton, di sini, pada Rabu.

Mohd Fadil berkata, antara faktor yang menyumbang kepada jumlah simpanan yang rendah ialah tahap konsistensi mencarum, khususnya dalam kalangan pekerja sektor tidak formal.

Katanya, pekerja dalam sektor formal secara umumnya mempunyai caruman bulanan, manakala golongan seperti nelayan dan petani yang berada dalam sektor tidak formal tidak mempunyai caruman yang konsisten.

“Yang kita risau ialah golongan informal seperti nelayan dan petani kerana mereka tidak konsisten menyimpan dengan KWSP.

“Jadi, peranan kementerian, rakan media dan NGO amat penting untuk sentiasa mewar-warkan kepentingan meningkatkan simpanan kepada golongan ini,” tambahnya.