Lelaki patah ibu jari dirempuh kereta mengundur di stesen minyak

TAWAU: Seorang lelaki mengalami kecederaan patah ibu jari tangan kanan selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Viva yang mengundur secara mengejut di sebuah stesen minyak di Jalan Kuhara, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 59 tahun sedang mencuci tangan di kawasan pam angin dan air di stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun yang datang ke stesen minyak itu untuk mengisi angin tayar kenderaannya.

Bagaimanapun, katanya, pemandu berkenaan mendapati hos pam angin tidak dapat mencapai tayar hadapan sebelah kiri sebelum masuk semula ke dalam kereta untuk mengubah kedudukan kenderaan.

“Ketika cuba mengundur, pemandu dipercayai secara tidak sengaja terpijak pedal minyak menyebabkan kereta bergerak ke belakang secara mengejut sebelum melanggar mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah ibu jari tangan kanan, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika mengundur.

Beliau berkata, polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sedang mengesan saksi lain bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam kawalan sepenuhnya, terutama ketika mengundur di kawasan parkir serta stesen minyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.