KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mendedahkan individu atau pihak yang bertanggungjawab membatalkan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak bagi memastikan keputusan itu tidak dibuat secara sewenang-wenangnya.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, pembatalan projek berkenaan perlu disiasat secara menyeluruh, terutama jika keputusan itu dibuat tanpa alasan munasabah sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pembatalan sebahagian projek pembangunan luar bandar yang diluluskan bagi 2026 di kedua-dua negeri itu perlu dipandang serius.
“Sabah dan Sarawak bukan negeri kelas kedua dalam Persekutuan Malaysia.
“Rakyat Borneo berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, bukan terus dibebani jurang pembangunan sedangkan harapan mereka berulang kali dipertaruhkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, kerajaan perlu menjelaskan secara terbuka sebab pembatalan, proses membuat keputusan serta pihak yang meluluskan tindakan berkenaan.
Katanya, alasan berkaitan birokrasi tidak seharusnya dijadikan perlindungan tanpa penjelasan terperinci kepada rakyat.
“Jika pembatalan dibuat atas faktor teknikal atau kewangan, jelaskan secara terbuka.
“Jika wujud unsur pilih kasih, diskriminasi atau penyalahgunaan kuasa, tindakan tegas mesti diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Beliau menegaskan, setiap projek pembangunan yang dibatalkan bukan sekadar melibatkan angka peruntukan, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap kehidupan rakyat, penyediaan kemudahan asas dan masa depan generasi akan datang.
Menurutnya, tuntutan itu bukan berasaskan sentimen kenegerian, tetapi soal keadilan dalam memastikan Sabah dan Sarawak menerima pembangunan sewajarnya sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan memberikan penjelasan rasmi dan mendedahkan fakta sebenar berhubung pembatalan projek terbabit, selain memastikan projek penting kepada rakyat tidak dibatalkan tanpa alasan yang kukuh.
“Jangan biarkan Sabah dan Sarawak hanya diingati ketika diperlukan, tetapi diketepikan apabila hak pembangunan diputuskan,” katanya.