Koperal polis positif dadah mengaku tidak bersalah

BEAUFORT: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan penyalahgunaan dadah ketika dihadapkan ke Mahkamah Beaufort, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh, berkata anggota terbabit ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort pada 27 Julai lalu.

Menurutnya, penahanan itu dibuat selepas ujian saringan awal air kencing mendapati anggota berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Anggota berkenaan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Champin berkata, polis turut menerima maklumat daripada masyarakat berhubung kemungkinan penglibatan anggota terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan Kuala Penyu dan Menumbok.

Bagaimanapun, katanya, maklumat itu masih dalam siasatan dan risikan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta menentukan tahap penglibatan sebenar anggota berkenaan.

“Sebarang dakwaan perlu ditentukan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan,” katanya.

Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah.

Katanya, tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa bagi memastikan integriti serta profesionalisme pasukan sentiasa terpelihara.

“Penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan disiplin dan prestasi tugas, malah boleh mencemarkan imej serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM,” katanya.

Beliau berkata, PDRM akan terus memastikan integriti dan profesionalisme setiap warga pasukan dipelihara, selain mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan pasukan.