TAWAU: Sebanyak 2.5 tan abu naskhah al-Quran dilupuskan menerusi kaedah pelarutan ke laut dalam Program Pemurnian Al-Quran di perairan Tawau, pada 31 Oktober lalu.
Program anjuran Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri Sabah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dilaksanakan secara tertib dan penuh penghormatan bagi memastikan bahan al-Quran yang tidak lagi sesuai digunakan diuruskan mengikut kaedah sewajarnya.
Inisiatif berkenaan bertujuan memelihara kesucian dan kemuliaan ayat suci al-Quran, selain mengelakkan bahan terbabit daripada dicemari, disalahgunakan atau dikendalikan secara tidak wajar.
Program itu disempurnakan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Haji Bongsu@Aziz Jaafar dengan diiringi Timbalan Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Shafril Azmi Shaharin.
Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri Sabah, Nur Nabiha Izzati Wahit serta wakil Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Ibu Pejabat dan negeri.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tawau, Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau serta ahli jawatankuasa Masjid Babus Saadah, Kampung Muhibbah Raya.
Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri Sabah dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terbabit atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Usaha itu mencerminkan komitmen KDN dalam memastikan pengurusan bahan al-Quran yang tidak lagi boleh digunakan dilaksanakan secara teratur dan sempurna, selaras dengan tuntutan memelihara kehormatan kitab suci umat Islam.