TSGP berlaku sebelum 2018, tidak wajar dipertanggungjawabkan kepada kerajaan GRS – Azrul

KOTA KINABALU: Isu projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) tidak mempunyai kaitan dengan tanggungjawab Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini kerana perkara itu berlaku sebelum 2018.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pihak pembangkang tidak seharusnya memanipulasi isu berkenaan dengan mengaitkannya kepada pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Menurutnya, isu TSGP berlaku sebelum 2018 dan bukan sesuatu yang boleh dipertanggungjawabkan kepada kerajaan negeri pimpinan GRS hari ini.

Beliau berkata, pihak pembangkang perlu tampil dengan pendekatan lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas isu berkenaan.

“Pihak pembangkang tidak seharusnya memanipulasi isu ini dan perlu tampil lebih matang dan bertanggungjawab dalam mengulas isu tersebut,” katanya dalam satu hantaran pada laman Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa isu utama projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) ialah pembayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual masa, bukannya berdasarkan kemajuan kerja sebenar.

Katanya, pada 2018, kira-kira RM8.3 bilion atau 88 peratus nilai kontrak telah dibayar, sedangkan kemajuan kerja kedua-dua projek hanya sekitar 13 peratus dan belum diaudit atau disahkan.

Beliau berkata, selepas kontrak ditamatkan pada 2018, Kerajaan Persekutuan berdepan obligasi pembayaran balik pinjaman kepada China EximBank berjumlah RM8 bilion.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Bagaimanapun, rundingan semula yang dikemukakan pada 2024 membawa kepada pemeteraian perjanjian antara SSER dan China EximBank pada 30 Oktober 2026 bagi penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion.

Menurutnya, perjanjian itu membolehkan RM5 bilion disalurkan bagi membiayai skim bekalan air di Perak, khususnya Perak Utara dan Pulau Pinang, sekali gus mengurangkan kerugian negara kepada kira-kira RM3 bilion termasuk RM1.5 bilion yang telah diusahakan.