Banjir berulang jejas Sindumin, Lumadan, projek tebatan perlu disegerakan – Matbali

SIPITANG: Masalah banjir berulang yang menjejaskan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan Lumadan memerlukan penyelesaian menyeluruh menerusi pelaksanaan projek tebatan banjir serta naik taraf sistem saliran sedia ada.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, sebanyak 17 kampung di Sindumin sering dilanda banjir akibat limpahan Sungai Mengalong dan sistem saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran air, malah terdapat kawasan mengambil masa lebih seminggu untuk surut.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda, malah turut menjejaskan sumber pendapatan, hasil pertanian dan kehidupan harian penduduk.

“Ini bukan sekadar air yang melimpah ke halaman rumah, tetapi turut menenggelamkan sumber rezeki, merosakkan harta benda dan melumpuhkan kehidupan penduduk.

“Mereka tidak seharusnya terus hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan turun,” katanya ketika membangkitkan perkara itu dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Lebih membimbangkan, penduduk di DUN Lumadan turut berdepan kejadian banjir berulang sehingga sembilan kali sepanjang 2025 susulan limpahan Sungai Padas dan Sungai Bukau.

Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Luagan, Seningan, Suasa, Kebakangan, Bengkelalak, Mentulut, Bukau dan Lingkungan serta beberapa kawasan lain di DUN berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mempertimbangkan peruntukan khas bagi melaksanakan projek tebatan banjir secara menyeluruh serta menaik taraf sistem saliran sedia ada di kedua-dua kawasan berkenaan.

Matbali berkata, tiga isu kritikal yang dibangkitkan, iaitu masalah banjir, hakisan tebing sungai dan keperluan menaik taraf infrastruktur asas, memerlukan langkah penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh.

Selain isu banjir, beliau turut membangkitkan masalah hakisan tebing sungai yang semakin kritikal di beberapa kawasan sekitar DUN Lumadan, termasuk Kampung Lubak, tanah perkuburan Kampung Lubak, tanah perkuburan Kampung Beringin serta Kampung Kaundu Suasa.

Katanya, hakisan berkenaan bukan sahaja mengancam keselamatan rumah penduduk berhampiran, malah turut membahayakan kawasan tanah pertanian dan tanah perkuburan.

“Ini bukan sekadar soal kehilangan tanah, tetapi soal keselamatan rumah, kelangsungan tanah pertanian dan penghormatan terhadap kawasan tanah perkuburan nenek moyang kita.

“Jangan sampai kita hanya bertindak setelah tanah runtuh, rumah terancam atau pusara terhakis di bawah arus,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kerja-kerja pengorekan, pendalaman dan penyelenggaraan muara Sungai Sipitang serta Sungai Mengalong diberikan perhatian bagi mengatasi masalah pemendapan yang menghalang aliran air ke laut.

Keadaan itu turut menyukarkan laluan bot nelayan dan bot operasi agensi berkaitan, khususnya ketika air surut, termasuk di kawasan Kampung Menengah, Kampung Lumut dan Kampung Guruh-Guruh.

Beliau berharap semua permohonan berkenaan diberikan perhatian serius bagi memastikan masalah banjir dan infrastruktur sungai di kawasan Sipitang dapat ditangani secara berkesan demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk.