KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal komited untuk meningkatkan akses kepada bekalan elektrik yang stabil, mampu milik dan mampan bagi seluruh rakyat Sabah, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, tenaga solar akan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat itu, di samping penggunaan teknologi lain yang bersesuaian serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur elektrik bagi memperkukuh jaminan bekalan tenaga Sabah.
“Keutamaan kita kekal jelas, iaitu meningkatkan akses kepada bekalan elektrik yang stabil, mampu milik dan mampan untuk rakyat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Tenaga solar akan menjadi komponen penting dalam usaha ini, bersama teknologi lain yang bersesuaian serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur elektrik,” katanya sempena lawatan rasmi dan pameran LSS Kolombong di Teck Guan Cocoa Embassy di sini hari ini.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Beliau berkata, bekalan elektrik yang stabil merupakan asas penting kepada pembangunan Sabah kerana ia menyokong perkhidmatan asas, aktiviti ekonomi serta keperluan harian rakyat.
“Sama ada di kawasan bandar, daerah luar bandar mahupun pedalaman, rakyat Sabah memerlukan sistem bekalan elektrik yang boleh diharap,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah menjadikan jaminan bekalan tenaga sebagai keutamaan, khususnya sejak Sabah mengambil alih tanggungjawab kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu pada 3 Januari 2024.
Beliau berkata, langkah itu memperkukuh keupayaan Sabah untuk merancang, mengawal selia dan membangunkan sektor tenaga bagi memenuhi keperluan serta aspirasi jangka panjang negeri.
Di bawah Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), Kerajaan Negeri menyasarkan tenaga boleh baharu menyumbang 50 peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik Sabah menjelang 2035.
Hajiji berkata, tenaga boleh baharu ketika ini menyumbang kira-kira 17 peratus daripada campuran penjanaan elektrik Sabah dan dijangka meningkat kepada sekitar 30 peratus menjelang 2030.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peluasan penjanaan tenaga solar perlu disokong oleh sistem penyimpanan tenaga bateri, pengukuhan grid elektrik serta sumber penjanaan lain bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan boleh dipercayai.
“Matlamat kita bukan sekadar memasang lebih banyak panel solar, tetapi memastikan tenaga boleh baharu dapat menyumbang secara berkesan kepada jaminan bekalan tenaga Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji mengalu-alukan kejayaan LSS Kolombong memulakan operasi komersial pada 17 Oktober 2026, lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Loji tenaga solar berkapasiti 15 megawatt arus ulang-alik (AC) itu dijangka membekalkan kira-kira 37 gigawatt-jam tenaga elektrik bersih setahun kepada grid Sabah, mencukupi untuk memenuhi keperluan elektrik tahunan lebih 9,000 rumah.
Beliau berkata, projek itu yang merupakan kemudahan solar berskala besar pertama di Sabah memulakan operasi komersial di bawah kawal selia Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), membuktikan bagaimana pelaburan yang bertanggungjawab dan kepakaran tempatan mampu menyumbang kepada pembangunan sektor tenaga negeri.
Hajiji turut menggalakkan pemilik rumah dan perniagaan yang layak supaya meneroka program Solar Rakyat Sabah dan SELCO-PV Sabah 2.0 yang menyediakan peluang untuk menjana tenaga elektrik solar serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik daripada grid konvensional.
Beliau berkata, peralihan tenaga Sabah perlu membawa manfaat nyata kepada rakyat, termasuk bekalan elektrik yang lebih pelbagai, perusahaan tempatan yang lebih kukuh, peluang pekerjaan berkemahiran serta penyertaan lebih besar rakyat Sabah dalam industri tenaga boleh baharu.