KOTA KINABALU: Penyediaan penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu hanyalah kemudahan asas bagi memenuhi keperluan umat Islam menunaikan solat dan bukannya bertujuan memberikan keistimewaan eksklusif kepada mana-mana agama.
Mufti Sabah, Datuk Dr. Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, kewujudan kemudahan itu tidak bermaksud hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing di gunung berkenaan dinafikan atau diketepikan.
Menurutnya, pemasangan penanda kiblat juga bukan dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya memerlukan pengesahan rasmi daripada badan berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama berkaitan bagi memastikan ketepatan arah.
“Kewujudan penanda kiblat sama sekali tidak menghalang penganut agama lain untuk berdoa atau mengamalkan kepercayaan masing-masing di gunung tersebut.
“Tiada istilah keistimewaan eksklusif kepada satu-satu agama di Gunung Kinabalu. Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti keagamaan berdasarkan keperluan serta kelulusan pihak berautoriti, iaitu Taman-Taman Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penganut agama lain termasuk Kristian, Hindu dan Buddha juga dialu-alukan mengemukakan cadangan penyediaan kemudahan tertentu kepada pihak pengurusan Taman-Taman Sabah untuk dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian serta peraturan yang ditetapkan.
Mengulas aspek keadilan kepada semua penganut agama, beliau menjelaskan bahawa layanan saksama tidak semestinya bermaksud setiap kemudahan keagamaan perlu disediakan dalam bentuk yang sama.
Sebaliknya, perkara utama adalah memastikan setiap pengunjung dihormati dan diberikan ruang mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa menjejaskan hak pihak lain.
“Orang ramai tidak harus keliru antara menyediakan kemudahan untuk satu agama dengan memberikan keistimewaan sehingga menafikan hak agama lain. Itu adalah dua perkara yang sangat berbeza.
“Penanda kiblat hanyalah petunjuk arah dan kemudahan, bukannya satu kewajipan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pendakian kekal menjadi keutamaan serta tidak boleh dikompromi oleh mana-mana aktiviti keagamaan mahupun kebudayaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa Gunung Kinabalu terbuka kepada semua lapisan masyarakat, justeru tanggungjawab menjaga keselamatan dan kelestarian khazanah alam itu perlu dipikul bersama.