Jaringan strategik alumni UiTM mampu buka lebih banyak peluang kerjasama – Masidi

KOTA KINABALU: Jaringan strategik antara Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat berpotensi membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada alumni, institusi pendidikan serta masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penglibatan persatuan bersama pihak berkenaan menjadi platform untuk mengeratkan hubungan strategik, selain menghimpunkan alumni menerusi pelbagai program.

“Jaringan kerjasama seperti itu berpotensi membuka peluang kolaborasi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada alumni, tetapi juga kepada warga UiTM dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin, ketika menyempurnakan Majlis Golf Amal Prihatin Alumni UiTM Sabah 2026, yang dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-25 persatuan berkenaan.

Masidi yang juga Penaung dan antara pengasas awal persatuan itu berkata, beliau berbangga melihat persatuan berkenaan terus berkembang serta kekal aktif selepas 25 tahun penubuhannya.

Menurutnya, hubungan baik tidak semestinya bermula dalam bilik mesyuarat, sebaliknya boleh dibina menerusi pertemuan santai, perbualan mesra dan persahabatan berasaskan sikap saling menghormati.

Beliau berkata, matlamat asal penubuhan persatuan itu adalah untuk memastikan hubungan sesama alumni tidak terputus selepas meninggalkan kampus, sebaliknya terus dipelihara menerusi semangat persahabatan dan kebersamaan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan inisiatif Back to Campus yang menggalakkan alumni kembali menyumbang kepada alma mater, termasuk membantu pelajar kurang berkemampuan serta menyokong pembangunan prasarana kampus.

“Setiap sumbangan yang diberikan, walaupun kecil, mampu membawa perubahan kepada kehidupan serta masa depan seseorang pelajar,” katanya.

Sehubungan itu, Masidi berharap generasi alumni lebih muda tampil membawa idea baharu serta meneruskan semangat persahabatan dan sumbangan bagi memastikan persatuan berkenaan terus kukuh pada masa hadapan.

Sambutan ulang tahun ke-25 persatuan itu tahun ini membawa tema “25 Years of Connecting Alumni, Building Relationships and Giving Back”.