Kontrak syarikat Sabah dalam sektor minyak dan gas lepasi RM3 bilion

KOTA KINABALU: Nilai kontrak yang diperoleh syarikat tempatan Sabah dalam sektor minyak dan gas meningkat hampir sembilan kali ganda kepada lebih RM3 bilion tahun ini, berbanding kira-kira RM340 juta pada 2021.

Pencapaian itu membuktikan peningkatan ketara penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas negeri susulan pelaksanaan Commercial Collaboration Agreement (CCA) bersama PETRONAS sejak lima tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata syarikat Sabah dijangka menguasai 50 peratus pegangan kontrak menjelang akhir tahun ini, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah penyertaan syarikat tempatan dalam sektor berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kejayaan itu turut didorong kerjasama erat Sub-Jawatankuasa 4 (SC4), SMJ Energy, PETRONAS dan rakan pengendali industri dalam menterjemahkan dasar kerajaan negeri kepada peluang kontrak, pekerjaan serta pendapatan untuk syarikat tempatan.

“Penyertaan ekuiti dan hasil kepada negeri adalah penting, tetapi matlamat sebenar kita ialah memastikan perniagaan dan tenaga kerja tempatan turut menikmati manfaat secara langsung daripada kejayaan industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Back to The 70’s’ anjuran Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC) di Magellan Sutera Resort, di sini, semalam.

Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh Pelan Hala Tuju Strategik OGSE Sabah menerusi lima komitmen utama bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing syarikat tempatan.

Katanya, antara tumpuan utama ialah membuka lebih banyak peluang bagi skop kerja bernilai tinggi, termasuk kerja kompleks di medan minyak dan gas sedia ada (brownfield) serta operasi laut dalam (deepwater).

“Kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada pembangunan jurutera dan juruteknik muda Sabah, selain bekerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan kemudahan pembiayaan lebih kompetitif untuk membantu vendor tempatan mendapatkan modal pelaburan peralatan dan meningkatkan keupayaan operasi.

“Selain itu, proses pengesahan vendor dan semakan kandungan tempatan akan diperkukuh bagi memastikan peluang kontrak diberikan kepada syarikat Sabah yang benar-benar layak,” katanya

Dalam pada itu, Masidi memberi amaran kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan amalan ‘Ali Baba’ yang menggunakan nama atau identiti syarikat tempatan sebagai proksi mendapatkan kontrak, sedangkan pelaksanaan kerja dan manfaat ekonomi disalurkan kepada pihak lain.

Beliau berkata, amalan itu bukan sahaja menjejaskan integriti pelan pembangunan keupayaan yang dibangunkan bersama PETRONAS, malah merampas peluang syarikat Sabah yang benar-benar berkelayakan.

“Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan jalan pintas seperti ini kerana ia menjejaskan integriti pelan pembangunan keupayaan yang dibangunkan bersama PETRONAS, selain merampas peluang syarikat Sabah yang benar-benar layak.

“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan ini, mengambil kira maklum balas industri serta melaksanakan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil pemantauan,” katanya.

Mengulas potensi jangka panjang, beliau berkata nilai hasil ekonomi yang kekal di Sabah melalui penglibatan vendor tempatan dijangka melebihi RM8 bilion setahun menjelang 2031 berdasarkan unjuran semasa.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian sasaran itu bergantung kepada keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran, melahirkan tenaga kerja mahir, meningkatkan daya saing kos serta mengekalkan integriti dalam urusan perniagaan.

Beliau turut menegaskan keutamaan kepada syarikat tempatan perlu disertai keupayaan menawarkan nilai, kos dan mutu perkhidmatan yang kompetitif bagi memastikan vendor Sabah mampu berkembang serta kekal berdaya saing.

Masidi turut menghargai peranan SOGSC sebagai penghubung antara kontraktor tempatan, syarikat pengendali dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kerjasama serta meningkatkan standard industri minyak dan gas Sabah.