MINDET terus bantu usahawan Sabah dapatkan pensijilan halal – Ewon

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan meneruskan program bantuan dan memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membantu lebih ramai usahawan di negeri ini mendapatkan pensijilan halal.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, pensijilan halal antara fokus utama kementeriannya kerana dapat meningkatkan keyakinan pengguna, memperkukuh daya saing produk tempatan dan membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada usahawan Sabah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, dua inisiatif berkaitan pensijilan halal dilaksanakan melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) tahun ini, termasuk satu program yang menyalurkan bantuan kepada 30 usahawan terpilih.

“Sebahagian daripada bantuan itu digunakan untuk membolehkan usahawan mengubah suai premis perniagaan masing-masing bagi memenuhi keperluan pensijilan halal,” katanya.

Beliau berkata, keperluan pensijilan halal merangkumi proses penyediaan dan pengeluaran produk serta keadaan dan susun atur premis perniagaan.

Ewon berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Festival Kopi Antarabangsa Sabah (SICF) 2026 edisi kesembilan di City Mall, di sini, hari ini.

Katanya, MINDET bekerjasama dengan Halal Development Corporation (HDC), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) serta Hab Halal di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), yang terlibat dalam urusan permohonan pensijilan halal.

Beliau berkata, kementerian juga akan meneruskan penganjuran seminar berkaitan pensijilan halal. Tahun ini, HDC menganjurkan seminar dan persidangan mengenai pensijilan halal dengan sokongan MINDET.

“Saya berharap kerjasama dan penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana kita mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah memperoleh pensijilan halal,” katanya.

Ewon turut mengucapkan tahniah kepada dua penerima sijil halal sempena festival berkenaan.