Enam projek keselamatan bernilai lebih RM260 juta perkukuh sempadan negara

BANGGI: Kerajaan MADANI memperuntukkan lebih RM260 juta bagi melaksanakan enam projek keselamatan strategik di Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan daerah Kudat bagi memperkukuh kedaulatan sempadan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan aset serta infrastruktur keselamatan di kawasan berkenaan.

“Projek itu menelan belanja kos anggaran keseluruhan lebih daripada RM260 juta.

“Inilah komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan aset-aset kita serta pembangunan infrastruktur keselamatan dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lawatan Kerja dan Sumbangan Kotak Makanan di Balai Polis Karakit, Pulau Banggi, Ahad.

Menurut Mustapha, enam projek berkenaan merangkumi pembangunan dan naik taraf Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pulau Balambangan serta pembinaan jeti guna sama di Dogoton, Pulau Banggi.

Turut dirancang ialah pembangunan Kompleks Keselamatan Bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kapitangan, Pulau Banggi dan Teluk Lung, Pulau Balambangan.

Projek itu juga melibatkan perolehan aset untuk PDRM di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan.

Selain itu, kerajaan turut merancang menaik taraf laluan jalan raya pesisir pantai sedia ada di Pulau Banggi dari Karakit ke Dogoton, Lapangan Terbang Kudat dan Kem ATM Sri Kudat.

Mustapha berkata, projek berkenaan turut merangkumi penyediaan penempatan aset maritim agensi keselamatan di Kudat menerusi pembangunan Jeti Keselamatan Bersepadu di Kampung Landung Ayang yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Katanya, projek di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu mempunyai kepentingan strategik dan tidak boleh dilaksanakan seperti projek pembangunan biasa.

“Penting untuk kita memastikan kedaulatan sempadan negara dapat dipertingkatkan, terutama kepada anggota-anggota keselamatan,” katanya.

Beliau berharap peningkatan infrastruktur dan aset keselamatan itu dapat memberikan semangat serta motivasi kepada anggota tentera untuk terus berkhidmat menjaga kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Mustapha memaklumkan Perdana Menteri turut mengadakan lawatan ke Pos Dogoton dan Karakit di Pulau Banggi beberapa bulan lalu bagi meninjau aspek keselamatan sempadan negara.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan turut dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan daripada PDRM, APMM dan ATM yang sanggup berjauhan daripada keluarga selama tiga bulan ketika bertugas di pos hadapan, termasuk anggota dari Pahang, Perlis dan Sarawak, demi menjaga keselamatan sempadan negara.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda; Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM), Datuk Samsul Dollah dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Banggi, Jaslee Jaafar.