Bekalan elektrik Pantai Timur Sabah pulih 50 peratus, disasar pulih sepenuhnya dalam enam hari – SE

KOTA KINABALU: Kapasiti bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah kini pulih kira-kira 50 peratus, manakala pemulihan sepenuhnya disasarkan dapat dicapai dalam tempoh enam hari susulan insiden menara penghantaran tumbang, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity(SE), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, kerja-kerja pemulihan bekalan sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi menyambung semula talian penghantaran yang terjejas.

“Kita menyasarkan tempoh enam hari untuk menyambung semula grid yang terjejas ke Pantai Timur Sabah.

“Menara penghantaran berkenaan tumbang akibat hakisan sungai susulan hujan lebat.

“Ia turut menjejaskan bekalan elektrik kepada 153,599 pengguna di tujuh kawasan iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan dan Beluran,” katanya pada sesi sidang media di sini, pada Khamis.

Kata beliau, bagi membolehkan pemulihan dilaksanakan, Sabah Electricity akan menggantikan menara yang tumbang dengan menggunakan sistem menara sementara Emergency Restoration System (ERS).

Sementara itu, sebanyak 10 set janakuasa bergerak (genset) sudah digerakkan ke lokasi kritikal termasuk hospital, sekolah dan balai polis bagi memastikan perkhidmatan penting kepada masyarakat dapat diteruskan.