PISN pacu industri sukan sebagai cabang ekonomi baharu

KOTA KINABALU: Pelan Industri Sukan Negara (PISN) bakal menjadi pemacu kepada pembangunan industri sukan sebagai salah satu cabang ekonomi baharu negara.

Pegawai Sekretariat Industri Sukan (SIS), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia, Azizi Azran Abdullah berkata, pelan berkenaan dirangka bagi memperkukuh ekosistem industri sukan agar lebih tersusun, mampan dan berdaya saing.

Katanya, usaha itu juga bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap sukan yang selama ini dilihat lebih kepada aktiviti rekreasi dan gaya hidup, sedangkan industri berkenaan mempunyai potensi ekonomi yang besar.

“Industri sukan ini sebenarnya sudah wujud, cuma ekosistemnya tidak lestari kerana berada dalam pelbagai segmen yang berbeza.

“Empat teras dalam pelan ini memainkan peranan bagi memastikan ekosistem industri sukan lebih lestari.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), industri sukan diangkat sebagai cabang ekonomi baharu negara.

“Hasrat kita adalah untuk memastikan industri ini berkembang dengan pesat di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Advokasi dan Sesi Libat Urus PISN Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Azizi berkata, pelan yang diluluskan Kabinet pada 9 Julai 2025 itu akan dilaksanakan sehingga 2030 dengan memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu tadbir urus, keusahawanan dan pengkomersialan, industri sukan berasaskan inovasi serta industri sukan selari dengan agenda pembangunan mampan.

“Dalam industri sukan, sebagai contoh, kita ada sektor pemakanan, pembinaan dan pembuatan. Kita juga sudah melihat adanya jenama tempatan yang semakin berkembang.

“Apabila sesuatu acara sukan berlangsung, perkhidmatan logistik seperti pengurusan acara serta perkhidmatan katering turut digunakan. Itulah yang memberikan limpahan ekonomi kepada industri,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan syarikat tempatan agar melihat penajaan sukan bukan sekadar sebagai tanggungjawab sosial korporat, sebaliknya sebagai pelaburan strategik untuk mempromosikan jenama dan memperluas pasaran.

Menurutnya, pelaksanaan PISN juga membuka ruang kepada pemain industri dan pemegang taruh untuk mengenal pasti cabaran berkaitan pelesenan, kawal selia serta dasar sedia ada bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.

Bagi Sabah, beliau berharap strategi dan inisiatif yang digariskan dalam pelan berkenaan dapat disesuaikan dengan keperluan industri tempatan, sekali gus membuka peluang menjadikan sektor sukan sebagai sumber ekonomi baharu negeri ini.

Berdasarkan Akaun Satelit Sukan 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Nilai Ditambah Kasar Industri Sukan mencatatkan RM24.1 bilion, meningkat 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan sumbangan sebanyak 1.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah itu melibatkan seramai 120 pemain industri dan pemegang taruh bagi meningkatkan kefahaman serta mendapatkan input dan cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan PISN.

PISN dijadualkan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 28 November ini.