Curi bungkusan kiriman, lelaki ditahan kurang sembilan jam selepas laporan polis

KOTA MARUDU: Seorang lelaki yang disyaki mencuri bungkusan kiriman di Taman Perumahan T&G, di sini, berjaya ditahan polis kurang sembilan jam selepas laporan berhubung kejadian itu diterima.

Suspek ditahan kira-kira jam 7.15 pagi, 26 November lalu, hasil tindakan pantas sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kecurian itu kira-kira jam 10.45 malam, pada 25 November lalu.

Menurutnya, kejadian berkenaan turut mendapat perhatian selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu tular di media sosial.

Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Taman Perumahan T&G.

Dalam operasi sama, polis turut merampas bungkusan kiriman yang dipercayai dicuri bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Simiun berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan.