KOTA KINABALU: Masyarakat digesa tidak berdiam diri atau menutup mata terhadap kes keganasan terhadap wanita, sebaliknya tampil melaporkan kejadian yang diketahui bagi memastikan mangsa mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, usaha membendung keganasan memerlukan kesedaran serta tanggungjawab bersama, termasuk keberanian masyarakat untuk melaporkan kes penderaan yang berlaku dalam kalangan keluarga atau jiran.
Beliau berkata, sikap tidak mahu mencampuri urusan orang lain tidak seharusnya menjadi alasan untuk membiarkan kes keganasan berterusan tanpa tindakan.
“Sekiranya kita mengetahui kes yang kita betul-betul secara tidaklah tersembunyi kes itu, kes teruk penderaan di dalam rumah tangga, jiran kah, keluarga kah atau sesiapa sahaja, saya minta supaya jangan tutup mulut, pergi lapor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pasa majlis perasmian Program Keluarga Sejahtera, Wanita Unggul sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026 di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail dan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong.
Menurut Julita, kesan keganasan bukan sahaja dialami mangsa ketika kejadian berlaku, malah trauma fizikal dan emosi boleh berpanjangan serta memberi kesan kepada anak-anak yang membesar dalam persekitaran penuh kekerasan.
Katanya, keadaan itu berisiko menyebabkan anak-anak menganggap keganasan sebagai perkara biasa, sekali gus mewujudkan kitaran keganasan yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Orang ramai perlu memanfaatkan Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam bagi mendapatkan bantuan ketika berhadapan situasi keganasan atau mengetahui individu yang memerlukan pertolongan,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan wanita melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan bagi membolehkan mereka berdikari serta mempunyai keupayaan untuk meneruskan kehidupan sekiranya berhadapan kesukaran.

Sementara itu, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikongsikan beliau menunjukkan sebanyak 911 kes keganasan terhadap wanita direkodkan di Sabah pada 2025 berbanding 951 kes pada 2024.
Walaupun jumlah keseluruhan menunjukkan penurunan, Julita berpandangan angka berkenaan mungkin hanya melibatkan kes yang dilaporkan kerana masih terdapat mangsa yang tidak berani tampil mendapatkan bantuan.