Remaja disyaki terbabit kes rogol direman tujuh hari

TAWAU: Seorang remaja lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membawa seorang remaja perempuan ke sebuah penginapan sebelum melakukan hubungan seks.

Perintah reman terhadap suspek berusia 17 itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, sehingga 24 Julai depan selepas membenarkan permohonan reman oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Rabiatul Adawiyah Japri.

Berdasarkan keterangan dikemukakan di mahkamah, abang mangsa menyedari adik perempuannya tidak hadir ke sekolah pada 14 Julai lalu kira-kira jam 11.30 pagi, walaupun remaja itu sudah keluar seperti biasa untuk ke sekolah.

Semakan dengan guru kelas mendapati mangsa tidak hadir ke sekolah, manakala pemandu bas memaklumkan mangsa dipercayai turun di kawasan jejantas berhampiran sekolahnya.

Pada hari sama kira-kira jam 11 malam, abang mangsa dimaklumkan adiknya berada bersama seorang perempuan sebelum mengambil mangsa di rumah individu berkenaan.

Mangsa kemudian dibawa ke balai polis selepas mendakwa bertemu suspek sebelum dibawa ke sebuah penginapan murah dekat pusat bandar di sini, sebelum kejadian itu berlaku.

Susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota BSJ menahan suspek kira-kira jam 2.05 petang semalam bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, dalam satu kenyataan berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan, pergaulan dan aktiviti harian anak-anak serta mewujudkan komunikasi yang baik dalam keluarga bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa atau terjebak dalam perlakuan yang menyalahi undang-undang.