KOTA KINABALU: Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah kembali dianjurkan pada 11 November ini bagi mengiktiraf penghasilan karya bermutu, selain menggalakkan lebih ramai penulis, khususnya warga Sabah, berkarya dalam pelbagai bidang.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hazami Jahari, berkata penganjuran anugerah itu menjadi antara inisiatif memperkukuh kerjasama antara DBP dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam bidang penerbitan.
Beliau berkata, anugerah berkenaan turut menyasarkan penulis, pensyarah, penyelidik dan golongan profesional bagi menggalakkan penghasilan buku umum, ilmiah dan separa ilmiah.
“Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menjalin sinergi dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam bidang penerbitan.
“Selain itu, menggalakkan penghasilan buku dalam pelbagai bidang serta memberikan penghargaan kepada penulis yang berjaya menghasilkan bahan bacaan berkualiti khususnya buku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, di sini, hari ini.
Dr. Hazami berkata, anugerah itu mula diperkenalkan pada 2015 dengan nama Anugerah Buku Umum Terbaik Ketua Menteri Sabah dan dilaksanakan sebanyak tiga kali, iaitu pada 2015, 2016 dan 2017.
“Pada 2022, anugerah itu menggunakan nama Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah, dengan penilaian membabitkan buku terbitan DBP dan penerbit luar yang diterbitkan pada 2020 dan 2021.
“Majlis penyampaian anugerah berkenaan kemudian diadakan pada 2023,” katanya
Beliau berharap penganjuran semula anugerah itu dapat terus memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah, DBP dan rakan strategik dalam memajukan industri penerbitan serta menggalakkan penghasilan lebih banyak karya berkualiti.
Dr. Hazami turut berharap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dapat menyempurnakan majlis penyampaian anugerah berkenaan pada 11 November ini.