TUARAN: Kejadian tanah runtuh di Kampung Tiong Simpodon, Tamparuli, pagi tadi menghalang sebahagian laluan utama kampung, namun jalan masih boleh dilalui menggunakan satu lorong.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran TPgB Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam enam pagi sebelum tiga anggota digerakkan ke lokasi.
Bagaimanapun, laluan ke lokasi tidak dapat dilalui oleh jentera bomba berikutan keadaan jalan yang terjejas.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlaku tanah runtuh yang menghalang sebahagian laluan utama kampung.
“Walaupun sebahagian jalan terhalang, laluan masih boleh digunakan melalui satu lorong dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Beliau berkata, kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan tiga anggota bomba ditamatkan pada jam 7.20 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.