KUALA LUMPUR: Projek Program Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini didakwa dibatalkan sebenarnya tidak dimansuhkan, sebaliknya pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu hanya ditangguhkan sementara kerajaan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Penjelasan itu diberikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, keputusan menangguhkan pengeluaran SST baharu dibuat pada 10 September lalu selepas mendapati komitmen perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melebihi peruntukan asal, sekali gus menyebabkan kerajaan perlu menguruskan tunggakan bayaran sedia ada terlebih dahulu.
“Langkah itu bertujuan memastikan projek yang sudah dilaksanakan dapat diteruskan dan kontraktor menerima bayaran, bukannya membatalkan projek pembangunan yang diluluskan.
“Adalah tidak benar dakwaan bahawa MOF membatalkan projek. MOF hanya meminta KKDW menangguhkan pengeluaran SST baharu sementara tunggakan sedia ada diselesaikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata, peruntukan JALB bagi 2026 sebenarnya meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding peruntukan asal RM2.11 bilion.
Katanya, peningkatan hampir RM1 bilion itu merangkumi kelulusan tambahan RM500 juta kepada KKDW serta Notice of Change (NOC) sebanyak RM491 juta yang dibuat lebih awal oleh kementerian berkenaan.
“Kelulusan tambahan RM500 juta itu disalurkan secara berperingkat menerusi Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB), iaitu RM300 juta pada 1 September dan RM200 juta lagi pada 21 September lalu.
“Tambahan peruntukan itu turut membabitkan penjimatan perbelanjaan pembangunan daripada beberapa kementerian lain bagi membolehkan komitmen sedia ada diselesaikan, katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui tambahan peruntukan berkenaan masih belum mencukupi untuk melunaskan keseluruhan komitmen yang telah dibuat.
Amir Hamzah berkata, kerajaan perlu memastikan setiap komitmen baharu dibuat berdasarkan kedudukan kewangan sebenar dan peruntukan yang diluluskan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat.
Menurutnya, permohonan dan kelulusan NOC perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang perbelanjaan atau komitmen baharu dibuat, manakala pengeluaran SST baharu perlu disokong peruntukan mencukupi.
Katanya, setiap tambahan peruntukan JALB melalui kaedah pengagihan semula turut mengurangkan ruang pembiayaan bagi keutamaan pembangunan kementerian lain.
Sementara itu, beliau memaklumkan perbelanjaan sebenar projek JALB bagi tempoh 2018 hingga 2022 berjumlah RM3.72 bilion, manakala perbelanjaan sebenar dan peruntukan bagi tempoh 2023 hingga 2027 mencecah RM11 bilion.
Isu berkenaan sebelum ini mendapat perhatian apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan sebahagian projek pembangunan luar bandar yang diluluskan bagi 2026 di Sabah dan Sarawak diarahkan dibatalkan walaupun peruntukan sudah tersedia.
Pendedahan itu mencetuskan persoalan dalam kalangan wakil rakyat Sabah dan Sarawak berhubung nasib projek jalan luar bandar yang amat diperlukan penduduk, khususnya di kawasan pedalaman.