Jamawi mahu lebih ramai belia ceburi sektor pertanian

TENOM: Penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian perlu diperkukuh bagi memastikan usaha meremajakan sektor itu dapat dilaksanakan, khususnya di peringkat akar umbi.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu penting memandangkan sebahagian besar petani, penternak dan individu yang terbabit dalam aktiviti pertanian ketika ini terdiri daripada golongan berusia.

Katanya, golongan muda perlu dilengkapi ilmu dan kemahiran dalam bidang pertanian supaya mampu menjadi tenaga penggerak serta membantu melancarkan aktiviti pertanian di lapangan.

“Dengan adanya kursus seperti ini, kita dapat menambah ilmu golongan muda dalam bidang pertanian sekali gus melancarkan aktiviti pertanian di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Pertanian Pusat-pusat Latihan Petani Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Serbaguna, Taman Pertanian Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap I (Pembangunan), Awang Dzulkernain Awang Hassan; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Pengembangan dan Pembangunan Industri Tanaman, Suraya Jubahar; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Zarinah Ali; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Alinah Abdul Rahman serta Penolong Pengarah Seksyen Perancangan dan Pengurusan Daerah merangkap Pengerusi Penganjur, Nurul Syierah Tasim.

Jamawi berkata, Jabatan Pertanian Sabah akan meneruskan bimbingan kepada bekas pelatih berkenaan selain menyalurkan bantuan yang diperlukan bagi membantu mereka mengembangkan potensi dalam sektor pertanian.

Katanya, usaha itu bukan sahaja bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, malah menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan tani.

“Kita akan terus membimbing dan membantu mereka supaya turut berjaya seperti usahawan lain yang sudah lama berkecimpung dalam sektor pertanian,” ujar beliau.

Seramai 70 pelatih berjaya menamatkan Kursus Asas Pertanian selama enam bulan yang dijalankan di pusat latihan Jabatan Pertanian Sabah di Lagut, Soberang Canem, Kota Marudu dan Ulu Dusun, Sandakan.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pelatih terbaik bagi tiga kategori iaitu Modul Tanaman Jagung, Modul Tanaman Sayur-sayuran serta Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi kategori lelaki dan perempuan.