Ewon, Donald kekal teraju UPKO, sayap parti tampil wajah baharu

PENAMPANG: Datuk Ewon Benedick kekal menerajui Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai Presiden, manakala Datuk Donald Peter Mojuntin terus memegang jawatan Timbalan Presiden selepas kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association (KDCA), di sini, hari ini.

Turut dipilih tanpa pertandingan ialah lima Naib Presiden iaitu Jairaiaz Joseph, Datuk Wong Thien Fook, Datuk Pangiran Lalung, Datuk Basari Sarikun dan Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu.

Ewon ketika menyampaikan ucapan penangguhan persidangan berkata, beliau menghormati amalan demokrasi serta keputusan yang dibuat perwakilan dalam pemilihan berkenaan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin yang terpilih dan menyifatkan keputusan itu sebagai usaha memperkukuh parti.

“Pemilihan ini seharusnya mengukuhkan parti kita, bukan melemahkan parti. Semua ahli parti kita merupakan keluarga besar UPKO,” katanya.

Menurutnya, kesemua enam usul yang dibawa dalam persidangan turut diluluskan selepas dibahaskan oleh para perwakilan.

Katanya, barisan kepimpinan baharu bertanggungjawab menyampaikan resolusi parti kepada pimpinan kerajaan, khususnya Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Pimpinan dan wakil-wakil rakyat UPKO juga akan mengangkat pendirian serta resolusi parti untuk dibawa dalam perbahasan di Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Ewon berkata, sebagai anggota Kabinet Sabah, beliau turut bertanggungjawab menyampaikan pendirian dan keputusan parti dalam kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata UPKO akan meneruskan penambahbaikan struktur parti termasuk Ahli Majlis Tertinggi (AMT), biro, Jawatankuasa Penyelaras Kawasan DUN (CLC) dan bahagian di seluruh negara.

“Kita sedang mempersiapkan parti, bukan untuk pilihan raya semata-mata, tetapi bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan memberikan khidmat terbaik kepada negara, negeri Sabah serta rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan UPKO sebagai parti yang inklusif dengan memberi ruang dan peranan kepada ahli daripada pelbagai wilayah, bahagian, agama dan etnik di Sabah.

“Matlamat kita adalah menjadikan parti ini terus berkhidmat dan berjuang demi rakyat, negeri dan negara,” jelasnya.

Sementara itu, beberapa sayap UPKO menyaksikan perubahan kepimpinan menerusi proses pemilihan.
Carlye Lajimin dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UPKO yang baharu, manakala Newbaxter Tibin dipilih sebagai Timbalan Ketua.

Carlye sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pemuda UPKO Pusat dan menggantikan Felix Joseph Saang untuk menerajui pergerakan itu bagi penggal baharu.

Bagi Pergerakan Wanita UPKO, Mohina Sidom kekal sebagai Ketua selepas mempertahankan jawatannya, manakala Lomiti Jahan dipilih sebagai Timbalan Ketua.

Pergerakan Generasi Muda UPKO pula tampil dengan kepimpinan baharu apabila Emmanuel Atin dipilih sebagai Ketua, menggantikan Seheral Linus.

Alison Chan pula dipilih sebagai Timbalan Ketua Generasi Muda, menggantikan Russell Flavian.

Seheral dan Russell memberikan laluan kepada barisan kepimpinan baharu untuk menerajui Pergerakan Generasi Muda UPKO bagi penggal akan datang.

Perubahan di peringkat sayap parti itu dilihat memberi ruang kepada barisan pemimpin baharu untuk membawa pendekatan serta agenda masing-masing, selaras dengan keperluan parti dan golongan muda di Sabah.