KOTA KINABALU: Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu sentiasa responsif dalam menangani isu berbangkit, selain memastikan maklumat tepat mengenai dasar dan pencapaian kerajaan negeri disampaikan kepada rakyat.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, penggunaan media sosial perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan fakta yang benar dan tepat bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi tidak berasas.
Beliau berkata, jentera parti juga perlu memainkan peranan dalam menjelaskan dasar kerajaan negeri, khususnya bantuan dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat supaya maklumat berkenaan dapat diketahui serta difahami kumpulan sasar.
“Dasar kerajaan, khususnya bantuan dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, perlu disampaikan dengan berkesan supaya diketahui, difahami dan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pencapaian serta aspirasi pembangunan negeri sempena Retreat Wanita Gagasan Rakyat yang menghimpunkan kepimpinan dan jentera wanita parti.
Azrul berkata, kebersamaan dan kesatuan dalam perjuangan perlu terus diperkukuh bagi menghadapi cabaran politik, selain membina keyakinan rakyat terhadap usaha pembangunan negeri.
Katanya, kesatuan dalam kalangan jentera parti juga penting bagi mempercepat pelaksanaan pembangunan, termasuk memastikan projek infrastruktur asas dapat disiapkan segera demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, semua pihak perlu terus memperkemas gerak kerja dan bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan aspirasi pembangunan Sabah dapat direalisasikan.
“Kita perlu terus bersatu, memperkukuh gerak kerja dan melangkah sebagai satu pasukan demi memastikan aspirasi pembangunan Sabah dapat direalisasikan dan manfaatnya dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.