Pemuda Gagasan Rakyat, PBB perkukuh kerjasama strategik

KUCHING: Pertemuan antara Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) menjadi platform memperkukuh hubungan serta meneroka peluang kerjasama strategik antara golongan muda Sabah dan Sarawak.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pertemuan bersama delegasi Pemuda PBB yang diketuai Ketua Pemudanya, Datuk Martin Ben, berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat kekeluargaan.

Beliau berkata, pertemuan itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta mempelajari pendekatan masing-masing dalam memperjuangkan kepentingan golongan muda.

“Pertemuan ini menjadi langkah bermakna untuk memperkukuh hubungan, membina persefahaman dan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik antara anak muda kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan dalam kenyataan hari ini.

Delegasi Pemuda Gagasan Rakyat turut disertai barisan pimpinan sayap pemuda parti berkenaan.

Menurutnya, pertemuan itu turut disertai ketua-ketua pemuda parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).

Azrul berkata, hubungan yang diperkukuh menerusi pertemuan seumpama itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang untuk perkongsian idea dan pengalaman, sekali gus menggalakkan kerjasama dalam kalangan pemimpin muda Sabah dan Sarawak.