TAWAU: Lapan pelajar tingkatan dua mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang sebelum bergaduh dan merusuh di hadapan sebuah sekolah swasta di Batu 5, Jalan Apas, bulan lalu.
Kesemua tertuduh yang berusia 14 tahun dan masih bersekolah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menganggotai suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan, dalam melaksanakan tujuan bersama perhimpunan itu, bergaduh serta merusuh di hadapan sekolah berkenaan kira-kira jam 11 pagi, 10 Julai lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum perintah selanjutnya diputuskan.
Kesemua pelajar itu dibenarkan diikat jamin RM400 setiap seorang dengan seorang penjamin daripada kalangan waris atau ahli keluarga masing-masing.
Dalam prosiding sama, pertuduhan turut dibacakan tanpa kehadiran terhadap tiga lagi individu iaitu Sharif Harun, 19; Muhamad Airil Ismail, 18; dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Ketiga-tiga mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tiada pengakuan direkodkan berhubung pertuduhan berkenaan kerana masing-masing sebelum ini telah disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada 28 Julai lalu.
Sharif dan Muhamad Airil masing-masing dihukum penjara lima bulan, manakala hukuman terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun itu belum diputuskan sementara menunggu laporan akhlak JKM.
Sebelum ini, kejadian pergaduhan berkenaan tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 27 saat yang memaparkan sekumpulan pelajar sekolah menengah bergaduh dengan seorang lelaki awam, termasuk menggunakan topi keledar dalam kejadian itu.
Rakaman berkenaan kemudian tersebar menerusi aplikasi WhatsApp pada 13 Julai lalu.
Pergaduhan dipercayai tercetus susulan perselisihan berkaitan penyebaran gambar dan video seksual yang dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), membabitkan penyuntingan wajah seorang lelaki dan seorang wanita.
Susulan kejadian itu, kesemua mereka ditahan reman selama dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.