Pegawai PPD dipenjara 4 bulan denda RM15,000, bersalah terima RM5,000 daripada kontraktor

TAWAU: Seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang kontraktor enam tahun lalu.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Abdul Samad Amara, 48, melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda RM15,000 itu.

Dalam keputusannya, hakim berkata setelah mendengar keterangan yang dikemukakan pihak pembelaan, pemeriksaan balas pihak pendakwaan, membaca hujahan kedua-dua pihak serta meneliti dan mempertimbangkan keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, tertuduh dengan ini dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan dan denda RM15,000, dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, dihukum penjara selama enam bulan.

“Hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai tarikh sabitan, iaitu 12 Ogos 2026,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada pemilik sebuah syarikat di Taman Univila, di sini, pada 11 September 2020.

Tertuduh ketika itu mengetahui lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja rasminya selaku Ketua Unit Infrastruktur dan Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau berkaitan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan Balung, Tawau, bernilai RM223,247 yang dianugerahkan kepada syarikat milik individu terbabit.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Karim.

Perbicaraan kes itu bermula pada 22 Ogos 2024 dengan pihak pendakwaan memanggil 15 saksi, manakala pihak pembelaan mengemukakan seorang saksi tunggal iaitu tertuduh sendiri.

Terdahulu, dalam rayuan mitigasinya, peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya selain memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan dengan syarat denda RM15,000 dijelaskan hari ini dan rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan.

Syarat-syarat jaminan sebelum ini turut dikekalkan.