TAWAU: Seorang penganggur yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol hari ini menukar pengakuannya kepada bersalah sebelum dijatuhi hukuman denda RM11,000 dan penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini.
Mohamad Zuliqmal Eiman Sudirman, 23, membuat pengakuan baharu itu ketika prosiding di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal dengan kandungan alkohol sebanyak 131 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah, iaitu 81mg melebihi had yang dibenarkan undang-undang.
Kesalahan itu dilakukan dalam satu operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Kubota Square, kira-kira jam 1.12 pagi pada 19 Julai lalu.
Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin tempatan serta diarahkan melapor diri kepada pegawai penyiasat sehingga sebutan semula kes.
Hari ini, selepas menukar pengakuan kepada bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM11,000 dan penjara 14 hari terhadap tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda RM11,000 itu.
Dalam prosiding pada 5 Ogos lalu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu yang sah.
Bagi pertuduhan itu, mahkamah menjatuhkan denda RM500 atau penjara tiga hari jika gagal membayar denda.
Ketika prosiding bagi pertuduhan berkenaan sebelum ini, tertuduh yang tidak bekerja merayu hukuman diringankan dengan memaklumkan bapanya menghidap kanser tahap empat dan sedang menjalani rawatan kemoterapi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa BSPT IPD Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.