BEAUFORT: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai berperanan sebagai pemilik akaun bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan kerugian RM900 yang dilaporkan pada 2019 menerusi Ops Kesan Khas 1/2026.
IPD Beaufort dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan, kes itu melibatkan modus operandi penyamaran sebagai pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia bagi memperdaya mangsa sehingga mengalami kerugian RM900.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, IPD Beaufort menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai penguat kuasa atau institusi kewangan.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang pindahan wang ke akaun tidak dikenali berdasarkan arahan yang diterima melalui panggilan telefon,” ujarnya.
Katanya, sebarang keraguan hendaklah disemak melalui saluran rasmi terlebih dahulu bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.