PUTATAN: Isu yang menyentuh keperluan asas dan kelangsungan hidup rakyat Sabah akan diberikan keutamaan serta diselesaikan segera, kata Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Beliau berkata, kesusahan rakyat dalam memenuhi keperluan harian termasuk mendapatkan makanan untuk menyara keluarga, pendidikan serta perkhidmatan kesihatan yang baik tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan.
“Saya berpendapat dengan saranan rakan daripada Bernama tadi yang saya kena selesaikan segera. Isu perut rakyat ini kita kena utamakan segera.
“Kesusahan rakyat di bawah untuk hidup, makan, menyara keluarga, sekolah dan dapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik, pendidikan yang cukup adalah sangat penting.
“Jadi, itu saya akan lebih utamakan. Maksudnya isu itu terus kepada rakyat yang memerlukan dan kerajaan perlu peka serta menyelesaikan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi beramah mesra dan perbincangan kumpulan bersama pengamal media di Sabah yang bertempat di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada sesi berkenaan akan disediakan dalam bentuk laporan untuk dibawa terus kepada pimpinan kerajaan bagi memastikan isu kritikal yang membabitkan kepentingan rakyat mendapat perhatian sewajarnya.
“Antara lima perkara yang dibangkitkan dalam sesi tadi termasuklah isu kabotaj berkaitan kenaikan harga barang, bekalan air, infrastruktur jalan raya, diesel dan kuota diesel serta tiket penerbangan,” jelasnya.
Hisyamuddin menegaskan pendekatan mendapatkan maklumat secara langsung daripada rakyat dan pengamal media itu penting sebagai sebahagian daripada usaha JKOM merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dengan rakyat.
Katanya, sesi perbincangan seumpama itu sebelum ini turut dilaksanakan bersama pelbagai kelompok masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah serta komuniti daripada pelbagai latar belakang.
Tambah beliau, JKOM akan meneruskan pendekatan berkenaan dengan mengadakan program sama di seluruh negeri di Malaysia bagi mendapatkan data primer daripada masyarakat di peringkat akar umbi.