“1 Rumah 1 Siswa” aspirasi pendidikan, tingkatkan taraf hidup

KUDAT: Gagasan “1 Rumah 1 Siswa” membawa aspirasi pendidikan untuk membuka peluang lebih luas kepada anak-anak dari pelbagai latar belakang keluarga, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.

Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong Chen Bin berkata, gagasan tersebut membawa harapan agar setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang berjaya melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Anak yang berjaya memperoleh pendidikan dan kemahiran boleh menjadi pemangkin kepada perubahan kehidupan keluarga, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Pendidikan tinggi bukan hanya untuk mereka yang berada. Kita mahu pendidikan tinggi menjadi impian setiap keluarga dan ibu bapa berusaha memberikan peluang terbaik kepada anak-anak untuk mengubah kehidupan keluarga.

“Anak-anak tidak seharusnya takut untuk bermimpi besar walaupun berasal daripada keluarga sederhana, tinggal jauh dari bandar atau datang dari kawasan kampung dan pulau.

“Tempat seseorang dilahirkan tidak sepatutnya menentukan sejauh mana mereka mampu pergi, manakala jarak, kemiskinan dan kekurangan bukan alasan untuk gagal atau berhenti mengejar cita-cita,” katanya ketika merasmikan program Karnival Pendidikan MADANI di Dewan Perkarangan Tomborungus Kudat, di sini, pada Sabtu.

Dalam konteks Sabah, beliau berkata agenda berkenaan amat penting memandangkan negeri ini mempunyai cabaran pendidikan yang unik termasuk kawasan pedalaman dan kepulauan, sekolah yang berjauhan serta cabaran dari segi akses, infrastruktur dan kemudahan digital.

“Anak-anak di Kudat mesti mempunyai peluang yang sama untuk berjaya seperti anak-anak di Kota Kinabalu. Anak-anak daripada keluarga miskin juga mesti mempunyai laluan untuk melanjutkan pendidikan dan membina kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata, gagasan “1 Rumah 1 Siswa” turut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kualiti pendidikan serta memastikan pendidikan yang lebih inklusif dan relevan.

Tambahnya, pendidikan bukan sahaja bertujuan melahirkan generasi berpengetahuan, malah menyediakan kemahiran dan karakter yang diperlukan bagi membolehkan generasi muda menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kemiskinan mampu dinoktahkan melalui pendidikan. Kemiskinan bukan sesuatu yang harus diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya,” jelasnya.

Beliau berharap gagasan “1 Rumah 1 Siswa” dapat menjadi sebahagian daripada agenda pendidikan Sabah dengan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian di universiti, politeknik, kolej komuniti, institusi TVET serta institusi pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian.

Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kudat dengan seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) itu turut melibatkan pameran oleh sekolah-sekolah di daerah Kudat, Kolej Vokasional serta agensi kerajaan.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD (JPNS), Dr. Mohamad Amran Manining, Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Awang Daramat Awang Mattiasin serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)