KUALA LUMPUR: Era menganggap Sabah dan Sarawak sebagai ‘deposit simpanan tetap’ dalam politik negara sudah berakhir, sebaliknya kedua-dua negeri itu kini menjadi kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan politik semasa menuntut UMNO lebih berhati-hati dalam membuka ruang kerjasama antara pelbagai parti Melayu supaya tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat bukan Melayu serta rakan politik dari Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, sebarang bentuk kerjasama politik perlu mengambil kira kepelbagaian kaum dan kepentingan semua wilayah, bukannya hanya tertumpu kepada sokongan daripada orang Melayu.
“Terbukanya ruang kerjasama pelbagai parti Melayu dalam pilihan raya, janganlah sampai menyinggung rakan-rakan kita daripada pelbagai bangsa lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Jangan sesekali kita memikirkan konstituen kita hanya Melayu. Tindakan dan perilaku kita jangan sesekali membuka ruang kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, landskap politik negara yang semakin kompleks menjadikan sokongan daripada pengundi bukan Melayu serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak amat penting dalam usaha membentuk kerajaan.
“Ingat, bila politik Malaysia ini ‘chaotic’ dan kacau-bilau, kita memerlukan keyakinan bukan Melayu dan parti Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan.
“Mereka sekarang telah menjadi kuasa penentu. Era kita menganggap mereka adalah deposit simpanan tetap telah tinggal menjadi kenangan,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan UMNO supaya tidak mengambil mudah sokongan daripada Sabah dan Sarawak kerana kedudukan kedua-dua negeri itu semakin signifikan dalam menentukan hala tuju politik negara.
Katanya, pendekatan politik yang lebih inklusif dan mengambil kira kepentingan semua pihak perlu diberi keutamaan bagi memastikan keyakinan rakyat serta rakan politik terus dipelihara.