PRU16: UMNO Sabah beri isyarat mahu terus bersama GRS

KUALA LUMPUR: UMNO Sabah memberi isyarat jelas untuk terus memilih jalan damai dan diplomasi dalam hubungannya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berbanding politik konfrontasi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara, selain mengukuhkan kerjasama antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Sabah.

Menurut laporan Utusan Malaysia Online, Jafry berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan kepentingan rakyat serta menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk terus menyuarakan keperluan rakyat Sabah.

“Pandangan saya secara peribadi memang begitulah keadaan saya. Saya lebih memilih untuk perbincangan kerana apa pun ‘we are nation’, sama-sama rakyat Malaysia dan juga orang Sabah.

“Jadi, tidak perlu kita bertegang. Mungkin masa dahulu kita dipimpin oleh seorang yang boleh dikatakan fighter, cara dan pembawaan dia mungkin berbeza, tetapi tidak semestinya salah.

“Tetapi pada ketika ini, rasanya pendekatan ini lebih nampak bijaksana untuk memastikan UMNO dan BN dapat kita ikhlaskan,” katanya.

Jafry berkata, hubungan antara parti dalam kerajaan negeri ketika ini menunjukkan sinergi yang baik, selain wujud komitmen serta kerjasama bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Saya penuh yakin kerjasama dan komitmen parti-parti yang ada di dalam kerajaan perpaduan mampu kita jalinkan dan perkukuhkan, berkemungkinan bermula pada PRU16 ini.

“Saya optimis hubungan baik ini dapat kita teruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui UMNO dan BN kini tidak lagi berada dalam kedudukan dominan seperti sebelum ini selepas hanya mempunyai enam kerusi dalam pembentukan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan itu tetap memberi ruang kepada UMNO untuk memainkan peranan dalam kerajaan, khususnya dalam membela kepentingan rakyat di seluruh Sabah.

“Kami sedar bahawa kami hanya ada enam kerusi dan memahami hakikat bahawa kami bukan lagi macam dahulu, sebuah parti yang dominan.

“Namun, kami bersyukur kerana masih berada dalam kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Jafry berkata, penerimaan terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri secara umumnya adalah baik walaupun terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan sesetengah pihak.