MUIS agih RM51,588 manfaat wakaf, 417 naskhah Al-Quran

TAWAU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengagihkan manfaat wakaf bernilai RM51,588.71 dan 417 naskhah al-Quran kepada tujuh organisasi sekitar daerah ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, MUIS akan terus memastikan agihan yang saksama bagi membantu golongan asnaf dan organisasi yang memerlukan dalam membantu masyarakat.

“Begitu juga dalam aspek pemerkasaan industri halal dan pembangunan sosioekonomi, MUIS memainkan peranan penting dalam memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat Sabah.

“Sesungguhnya pembangunan wakaf yang dirancang secara langsung turut menyokong agenda pembangunan negeri menerusi penjanaan ekonomi usahawan tempatan, penyediaan kemudahan asas masyarakat serta pengukuhan modal insan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Wakaf Negeri Sabah 2026 dan Bazaar Souq El Mizan Sempena Sambutan Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di perkarangan Masjid Al Kauthar di sini, pada Sabtu.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Pada majlis itu, manfaat wakaf MUIS diagihkan kepada tujuh organisasi antaranya Masjid Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Hospital Tawau dan Masjid Kem Kukusan yang masing-masing menerima Paparan TV Digital dan Waktu Solat bernilai RM10,800.

Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara pula menerima Smartboard Peranti Pintar Interaktif bernilai RM13,500, manakala Masjid Babus Saadah, Kg. Muhibbahraya menerima RM1,651.13 dan Masjid Al-Kauthar sebanyak RM4,037.58 melalui agihan tabung wakaf tunai masjid-masjid negeri Sabah.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) cawangan Tawau pula menerima 417 naskhah al-Quran melalui agihan wakaf al-Quran, manakala pihak MBSB Bank melaksanakan wakaf dengan penyerahan Solar Dome Aibim bernilai RM50,000 kepada MUIS.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)