Tamu Besar Kota Belud 2026 mulai 10 oktober ini

KOTA KINABALU: Tamu Besar Kota Belud 2026 akan berlangsung bermula 10 hingga 18 Oktober depan.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran kali ini menyasarkan kehadiran masyarakat dari daerah Kota Belud serta pengunjung dan pelancong dari seluruh Sabah dan luar negeri.

“Perasmian Tamu Besar akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah dan turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri pada 17 Oktober ini.

“Beberapa acara utama diadakan di tapak tamu, manakala pertandingan seperti lumba kerbau dan lembu berlangsung di padang atau dataran Kota Belud.

“Tamu Besar ini bukan sahaja menjadi platform keusahawanan untuk aktiviti jual beli, malah diserikan dengan pelbagai pengisian kebudayaan daripada pelbagai etnik seperti Bajau, Iranun, Dusun dan lain-lain.

“Ia juga sinonim dengan nilai perpaduan serta kebersamaan rakyat Sabah yang ingin kita serlahkan.

“Justeru, kita menjemput semua rakyat dan pelancong untuk hadir menyaksikan keunikan identiti Kota Belud.

“Antara kelainan penganjuran tahun ini ialah pelaksanaan Tamu Geopark Kinabalu bagi menonjolkan keistimewaan Gunung Kinabalu yang sebahagiannya terletak di daerah ini.

“Kali ini kita bekerjasama dengan Taman-Taman Sabah menganjurkan tamu ini supaya menonjolkan Gunung Kinabalu itu sendiri, di mana ia juga akan diadakan seminggu lebih awal,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, Tamu Besar turut memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan ruang kepada usahawan dan peniaga untuk memasarkan produk mereka.

Katanya, kementeriannya turut menyalurkan peruntukan bagi menyokong penganjuran sambutan itu, sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.

“Saya amat yakin seperti tahun-tahun sebelum ini, para peniaga kecil dan usahawan tamu akan mendapat rezeki serta pendapatan yang lebih baik, terutama apabila lebih ramai pengunjung datang.

“Antara produk tempatan yang sinonim dengan Kota Belud termasuk parang, sayur-sayuran dan ikan liking yang dijangka turut menjadi tarikan sepanjang sambutan berkenaan.

“Siapa lagi yang boleh membantu dan menyokong usahawan tempatan kalau bukan kita,” tambahnya.

Ewon memaklumkan jangkaan kehadiran pengunjung ke acara itu adalah sekitar 50,000 orang.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)