KOTA KINABALU: Kesediaan mengakui kekhilafan dan memohon maaf mencerminkan kematangan, kebertanggungjawaban serta integriti dalam kepimpinan, kata UMNO Sabah.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat, keharmonian masyarakat dan perpaduan perlu mengatasi kepentingan peribadi serta politik.
Menurutnya, UMNO Sabah mengambil maklum kenyataan yang dibuat jurucakap UMNO Bahagian Sepang ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
“UMNO Sabah ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut merupakan pandangan yang dikemukakan pihak berkenaan dan tidak mencerminkan pendirian rasmi serta suara UMNO Sabah.
“UMNO Sabah berpegang teguh kepada prinsip bahawa perkara yang menyentuh agama tidak sewajarnya dijadikan bahan gurauan, sindiran mahupun digunakan untuk kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Mohd Nadzri berkata, sensitiviti berkaitan agama hendaklah sentiasa dihormati dan dipelihara semua pihak tanpa mengira kedudukan, fahaman atau latar belakang politik.
Beliau berkata, UMNO Sabah sentiasa menghormati kepelbagaian agama, kaum, budaya dan kepercayaan yang menjadi asas keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Kepelbagaian ini merupakan kekuatan dan aset penting negeri yang sekian lama membentuk kehidupan masyarakat Sabah dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Menurutnya, semua pihak khususnya pemimpin dan ahli parti perlu berhati-hati serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, terutama yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan budaya.
Katanya, setiap tindakan dan kenyataan perlu mengambil kira kesannya terhadap keharmonian masyarakat serta hubungan antara rakyat yang berbilang latar belakang.
“UMNO Sabah kekal teguh dan komited dalam memelihara hubungan baik antara kaum dan agama di negeri ini.
“UMNO Sabah akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan, menyuburkan semangat saling menghormati serta mempertahankan keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan rakyat Sabah,” katanya.