KOTA KINABALU: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dibuka semula pada jam 11.30 malam selepas pemeriksaan keselamatan akhir selesai dilaksanakan.
Malaysia Airports dalam kemas kini terbaharu memaklumkan, pembukaan semula landasan itu dibuat selepas ia disahkan selamat untuk operasi penerbangan.
“Penumpang yang melakukan perjalanan dari dan ke lapangan terbang dinasihatkan supaya menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan status dan perkembangan terkini penerbangan,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Malaysia Airports.
Sebelum ini, landasan KKIA ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja penting diselesaikan dengan selamat, namun hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja berkenaan.
Penutupan sementara itu menyebabkan sebanyak 20 penerbangan terjejas.
Susulan pembukaan semula landasan, penumpang yang melakukan perjalanan dari dan ke KKIA dinasihatkan supaya terus menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan bagi mendapatkan maklumat terkini.
Malaysia Airports sebelum ini memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan operasi serta membantu penumpang yang terjejas sepanjang tempoh penutupan landasan.