KOTA KINABALU: JCI INTAN disaran terus memperkasa kepimpinan wanita dan belia menerusi peluang membimbing, merancang serta mengetuai projek komuniti.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pengalaman memimpin organisasi sukarela mampu membentuk generasi muda yang bertanggungjawab, yakin membuat keputusan dan mampu bekerjasama dengan individu daripada pelbagai latar belakang.
Beliau berkata, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya menuntut komitmen untuk menepati janji, melayan orang lain secara adil dan melaksanakan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
“Apabila seorang ahli mengetuai sesuatu projek komuniti, dia belajar mengurus bajet, bekerjasama dengan pasukan dan membuat keputusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas JCI INTAN, di sini, malam tadi.
Masidi turut menggalakkan ahli JCI INTAN berpengalaman membimbing wanita lebih muda dengan berkongsi pengalaman, termasuk kesilapan yang pernah dilakukan, selain memberikan ruang kepada generasi baharu untuk merancang dan mengetuai projek.
Katanya, golongan muda juga perlu memanfaatkan jaringan hubungan di luar Sabah untuk mempelajari kaedah penyelesaian masalah dan membawa pulang idea yang sesuai dilaksanakan di negeri ini.
Beliau berkata, usaha mewujudkan peluang kepada generasi seterusnya merupakan cara bermakna untuk menghargai jasa para perintis JCI INTAN yang telah membangunkan organisasi itu sejak 50 tahun lalu.