Masiung gesa PAS tidak campuri urusan politik Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari diingatkan supaya tidak mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan cadangan penambahan nisbah kerusi Parlimen di kedua-dua wilayah berkenaan.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, tuntutan penambahan nisbah kerusi Parlimen itu mempunyai asas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, perkara itu merupakan antara hak yang telah lama diperjuangkan oleh Sabah dan Sarawak dan tidak seharusnya dijadikan isu untuk memecah-belahkan hubungan antara kedua-dua wilayah Borneo dengan kerajaan Persekutuan.

“Kami mempunyai hak ke atas tuntutan nisbah kerusi Parlimen kerana ia memang termaktub di bawah MA63 yang tertulis dalam lipatan sejarah ketika pembentukan Malaysia.

“Tidak timbul siapa Perdana Menteri mengumumkan penambahan nisbah kerusi melibatkan pindaan Perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak tersebut menerusi MA63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Masiung berkata, parti politik di Sabah termasuk pembangkang menghormati semua parti politik dari Semenanjung, namun tindakan mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak tidak wajar diteruskan.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Fadhli yang didakwa menyentuh isu penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, termasuk ungkapan “jangan jatuh gaung bersama Anwar”.

Sehubungan itu, Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjaga integriti partinya dan tidak menjadi “tangan ghaib” dalam urusan politik Borneo.

Menurutnya, pemimpin Sabah dan Sarawak matang dalam membuat keputusan politik sendiri tanpa memerlukan campur tangan pihak luar.

Beliau berkata, pendekatan politik yang bersifat taksub tidak mendapat tempat di Sabah dan Sarawak kerana masyarakat di kedua-dua wilayah itu mempunyai semangat perpaduan serta saling menghormati walaupun berbeza fahaman politik.

“Masiung berkata, kelancangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu dianggap mencabuli perpaduan politik Sabah dan Sarawak.

“Sedangkan pemimpin kedua-dua wilayah Borneo itu tidak pernah berbuat demikian kepada PAS,” ujarnya.