‘Lumangad Oku Dika’ Dinobatkan Juara CLAS Ke-16

KOTA KINABALU: Lagu Lumangad Oku Dika dinobatkan sebagai juara Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Ke-16 (CLAS16).

Malam kemuncak CLAS16 disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan, di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini, pada Sabtu.

Lagu ciptaan komposer dan penulis lirik, Ryenald Guntabid itu dibawakan oleh penyanyi muda kelahiran Kundasang, Feli Stacy Paimin atau lebih mesra disapa Cici, yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000, trofi berserta sijil.

Tempat kedua dimenangi oleh lagu ‘Bintang Menemani Bulan’ yang dinyanyikan oleh Ivy Loverlhine R Amin, dengan komposer dan penulis liriknya, Arddley Nicholas turut menerima hadiah wang tunai RM4,000 bagi kemenangan tersebut.


Ivy turut meraih Anugerah Vokal Terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi berserta sijil.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh lagu Memori nyanyian Felix Agus, ciptaan komposer dan penulis lirik, Jun, yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, trofi berserta sijil.

Selain itu, Anugerah Lirik Terbaik disandang oleh Miximus Jay yang juga komposer dan penulis lirik lagu Semarak Harapan, manakala Anugerah Persembahan Terbaik pula disandang oleh Qahirah Maisarah menerusi lagu Bahagia Tanpamu ciptaan komposer dan penulis lirik, Edwan Abu.

Kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi berserta sijil.

Finalis yang turut berentap merebut kejuaraan pada malam tersebut ialah Moses Bryan Clay menerusi lagu Yang Satu, Dang Mar Ezzah dengan lagu Mawar Merekah, Narsisius Justin Misin dengan lagu Hati Bukan Mata serta Queenera dengan lagu Mungkin Hari Esok, masing-masing membawa pulang hadiah saguhati RM500 dan sijil penghargaan.

Pada program tersebut, kesemua finalis diiringi persembahan muzik secara langsung oleh Kombo RTM Sabah dan turut dimeriahkan dengan persembahan khas juara CLAS musim Ke-15, Velvet Aduk dan kumpulan penari Funz Crew.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Marina Abu Bakar, Penolong Pengarah dan Penerbit Rancangan RTM Sabah, Felix Lee Leng Pink serta Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio RTM Sabah, Aritika Mabni @ Matbee.

Penganjuran CLAS16 yang mendapat tajaan Kerajaan Negeri menjadi platform kepada komposer, penulis lirik dan penyanyi tempatan memperkenalkan karya menerusi radio RTM, sekali gus menjadi antara usaha RTM dalam memperkasa ekosistem muzik tempatan serta membuka peluang karya anak Sabah mendapat perhatian luas di peringkat nasional.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)