10 karya tempatan Sabah bakal berentap di pentas akhir CLAS16

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 karya terbaik tempatan Sabah bakal berentap merebut gelaran juara Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Musim Ke-16 (CLAS16) yang berlangsung pada Sabtu ini.

Malam kemuncak anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah menerusi Seksyen Hiburan dan Muzik itu dijadual berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kota Kinabalu, bermula 8.30 malam hingga 10.30 malam.

Kesemua 10 finalis dipilih berdasarkan pencapaian karya masing-masing dalam carta mingguan CLAS menerusi sokongan dan undian pendengar sepanjang musim pertandingan.

Finalis yang bakal berentap ialah “Bukan Milikmu” oleh Rusdie Shaah, “Semarakkan Harapan” oleh Mixsimus Jumi, “Bahagia Tanpamu” oleh Qahirah Maisarah dan “Lumangad Oku Dika” oleh Ryenald Guntabid.

Turut mara ke pentas akhir ialah “Hati Bukan Mata” oleh Narsisius Justin Misin, “Yang Satu” oleh Moses Bryan Clay, “Mungkin Hari Esok” oleh Queennera, “Bintang Menemani Bulan” oleh Arddley Nicholas, “Memori” oleh Felix Agus dan “Mawar Merekah” oleh Dang Mar Ezzah.

Malam kemuncak itu menyaksikan persaingan merebut tiga kedudukan utama iaitu Juara, Tempat Kedua dan Tempat Ketiga, selain tiga kategori khas iaitu Vokal Terbaik, Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Keseluruhan hadiah wang tunai yang ditawarkan berjumlah RM18,500, selain trofi dan sijil penyertaan.

Juara akan menerima RM6,000, Tempat Kedua RM4,000 dan Tempat Ketiga RM2,000, manakala pemenang bagi kategori Vokal Terbaik, Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik masing-masing menerima RM1,000.

Tujuh finalis lain turut menerima hadiah saguhati sebanyak RM500 setiap seorang.

Kesemua finalis akan diiringi persembahan muzik secara langsung oleh Kombo RTM Sabah, selain persembahan khas daripada Velvet Aduk selaku Juara CLAS Musim Ke-15.

Persembahan pembukaan pula akan diserikan kumpulan penari Funz Crew, manakala anugerah berkenaan dikendalikan gandingan pengacara RTM, DJ Edith dan DJ Noddy.

Orang ramai dan peminat muzik tempatan dijemput hadir memberikan sokongan kepada semua finalis, dengan kemasukan adalah percuma.

CLAS16 yang membawa tema “Black Gold” meneruskan kesinambungan penganjuran anugerah berkenaan sejak 2005 sebagai platform mengetengahkan karya, bakat dan kreativiti penggiat muzik tempatan Sabah.

Penganjuran yang mendapat tajaan Kerajaan Negeri Sabah itu turut menjadi usaha RTM Sabah memperkasa ekosistem muzik tempatan selain membuka peluang kepada karya anak Sabah mendapat perhatian lebih luas di peringkat nasional.

CLAS16 turut disiarkan menerusi SABAHfm, media sosial rasmi RTM Sabah serta penstriman digital melalui aplikasi RTMKlik.