‘Kahwin kampung’ rupanya tipu, alasan selepas kena cekup

LAHAD DATU: Alasan sudah ‘kahwin kampung’ diberikan sepasang kekasih ketika diperiksa penguat kuasa agama terbongkar selepas semakan mendapati mereka sebenarnya tidak pernah berkahwin.

Pasangan berusia 28 dan 19 tahun itu ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah hotel di daerah ini, malam Isnin lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Ustaz Rahim Yahya Abd Rahman berkata, pasangan berkenaan memberikan alasan itu ketika ditemui berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel.

“Ketika pemeriksaan, mereka mendakwa sudah ‘kahwin kampung’.

“Bagaimanapun, hasil semakan lanjut mendapati dakwaan itu tidak benar dan mereka tidak pernah melangsungkan perkahwinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasangan terbabit kemudian ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 (Sabah) atas kesalahan khalwat.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat menerusi Ops Cegah Jenayah Syariah yang dijalankan di beberapa hotel penginapan sekitar Bandar Sri Perdana dan Pekan Lahad Datu.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rahim berkata, operasi itu diketuai beliau bersama 20 pegawai penguat kuasa JHEAINS Sabah.